PRU15 Selepas Perintah Kawalan Pergerakan Tamat?

PRU15 Selepas Perintah Kawalan Pergerakan Tamat?

Dalam kesibukan Malaysia menghadapi Covid-19 ini, sesetengah tindakan Perikatan Nasional (PN) dilihat sebagai persediaan membubarkan parlimen bagi memperolehi mandat baru melalui PRU15.

Wabak Covid-19 ini dijadikan smokescreen untuk mengalih perhatian rakyat dan memberi fokus persediaan PN menghadapi PRU15.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilihat sebagai satu masa terbaik kepada pentadbiran PN untuk meneutralkan segala rasa marah rakyat akibat pembentukan kerajaan secara tidak bermoral akibat pengkhianatan.

Walaupun seruan agar dikurangkan bermain politik dalam tempoh ini, Kerajaan PN di peringkat persekutuan dan juga negeri mengatur semula lantikan-lantikan politik di hampir kesemua agensi dan GLC termasuk diperingkat akar umbi tanpa perlu menarik perhatian dari orang awam. Adakah ini bertujuan agar sumber kerajaan dapat digunakan dalam tempoh pilihanraya?.

Selain perubahan di peringkat kerajaan pusat, baru-baru ini kerajaan Negeri Melaka khususnya menukar sebahagian besar lantikan politik secara sekaligus tanpa mengira tempoh kontrak kesemua lantikan politik.

Dengan jumlah majoriti yang sangat kecil atau tiada sokongan yang mencukupi dari ahli parlimen yang diperlukan kerajaan, ini satu tekanan yang besar kepada PN bukan sahaja untuk mengadakan sidang parlimen tetapi mengekalkan sokongan sedia ada agar tidak beralih kepada Pakatan Harapan yang mendakwa mempunyai 114 sokongan dari 112 yang diperlukan.

KESAN ‘GULA-GULA’ TIDAK BERTAHAN LAMA

Pakej Rangsangan Ekonomi yang digubal dengan tema ‘Cash is King’ dilihat sebagai usaha untuk membina sokongan secara segera khususnya penjawat awam dan golongan B40. Walaupun pendapatan penjawat awam tidak terjejas dalam tempoh PKP, mereka turut menerima bayaran one-off yang dikira agak tinggi.

Keseronokan yang dirasai oleh rakyat daripada pakej rangsangan ini tidak akan bertahan lama sekurang-kurangnya selepas dari bulan 6 atau setelah tempoh moratorium 6 bulan tamat. Segala tekanan akan mula dirasai khususnya oleh rakyat dan juga Peniaga Kecil dan Sederhana (PKS) di semua peringkat.

Malaysia Institute of Economic Research (MIER) menjangkakan 2.4juta akan kehilangan perluang pekerjaan kesan dari dua krisis Covid-19 dan ekonomi. Ini akan menyebabkan kerajaan PN berhadapan dengan pengundi yang sangat tertekan sekiranya PRU15 tidak disegerakan.

Datuk Seri Najib yang terpalit dengan skandal 1MDB juga dilihat sedang membina sokongan terhadap dirinya dengan cuba terlibat memberi pandangan dan kritikan kepada kerajaan bagi menarik perhatian rakyat kepadanya.

Kerajaan juga turut berada dalam keadaan tertekan dengan hasil Kerajaan berkurangan akibat harga Petrol yang merudum dan beberapa sektor penting terjejas teruk dalam masa sama kerajaan perlu berbelanja dengan lebih banyak untuk menghadapi krisis ini.

Dalam keadaan pergerakan rakyat Malaysia terkawal, jentera kesemua parti tidak dapat bergerak dan kerajaan sedang hadapi wabak covid-19, adakah parlimen akan dibubar untuk memberi laluan kepada PRU15 dalam masa terdekat?

COMMENTS

Wordpress (0)